Persoalan Syahadah 17.01.15 | 02:15:23 am Sambil duduk makan beramai2 selepas ceramah Maulidur Rasul beberapa minggu lepas, saya berbual2 dengan seorang sahabat karib daripada UIA. Beliau yang amat saya hormati adalah rakan sebilik dengan saya selama dua tahun lebih.Beliau memang sengaja datang untuk bersama2 meraikan Maulidur Rasul di tempat itu dan telah meminta saya peta dan cara untuk datang ke situ.Seorang yang sangat budiman dan berbudi pekerti tinggi selain zuhud, suka merendah diri dan tawadhuk. Jika tidak silap saya, beliau berketurunan Tokku Paloh.Daripada beliau, saya tertarik untuk mengenali ilmu Silat Seni Gayong secara lebih mendalam dan atas dorongan dan sokongannya juga saya dapat maju dalam ilmu persilatan itu. Bahkan saya juga dapat menguasai ilmu permainan pedang yang disusun dan diatur oleh beliau.Pencapaian saya amatlah biasa tetapi saya sangat suka bersamanya apabila ada kesempatan dan peluang kerana beliau antara sedikit kelompok insan yang saya boleh berbual mengenai ilmu, kefahaman dan amalan agama tanpa ada merasa janggal dan kekok.Sambil berbual2 tiba ada insan yang agak pelik tertarik perhatian kepada kami. Memang kadang2 kita berjumpa dengan manusia yang kita rasa pelik sebegini, bertanya soalan2 pelik seperti apa yang berlaku kepada saya semasa saya makan sambil berbual2 dengan sahabat saya.Barangkali insan tersebut terdengar perbualan kami setelah seorang sahabat yang turut ada bersama, tuan Jaiya Abu, memperkenalkan kami kepada beberapa orang kenalannya yang lain yang datang ke meja kami.Sebaik mengetahui saya bekas pelajar UIA yang mengambil jurusan undang2 dan shariah, beliau membuat pernyataan dan bertanya soalan. Soalnya, "Untuk menjadi saksi kita perlu melihat, jadi, kalau kita bersyahadah, tapi kita tidak melihat Allah SWT, bagaimana?"Soalan sebegini bukan tidak boleh terus dijawab, tetapi harus melihat kepada orang yang bertanya, sesuai atau tidak diberikan jawapan terus atau sebaliknya secara kinayah atau kiasan sahaja. Kadang2 kita perlu membuatkan yang bertanya berfikir semula.Bersungguh2 dia mengulang2 tanya, sehinggalah akhir saya memutuskan untuk menggunakan kaedah kiasan sahaja. Lalu saya ingatkan beliau akan kisah Nabi Musa AS yang bersungguh2 hendak melihat zat Allah SWT tetapi gagal kerana tidak layak bagi beliau untuk melihatNya secara berdepan.Insan tersebut kelihatan tidak berpuashati, dan cuba menginterpretasikan ayat tersebut. Saya sekadar mendengar dan membiarkan, sambil sekala-sekala menyambung perbualan dengan sahabat karib saya dan rakan2 lain.Kemudian beliau mengulangi bertanya lagi tentang kedudukan syahadah tersebut sama ada sah atau tidak. Saya bawakan pula hadith Islam, Iman dan Ihsan dan menyebut apa yang Nabi sebut tentang Ihsan yakni beribadah seperti melihat Allah SWT tetapi sekiranya kita tidak dapat melihat Allah SWT, sentiasa sedar dan yakin bahawa Allah SWT itu melihat kita.Perbualan berakhir di situ apabila dia mengundur diri dalam keadaan masih tidak berpuashati. Mungkin cara saya menjawab agak acuh tidak acuh sahaja. Mungkin.Tetapi selain jawapan2 di atas ada jawapan lain yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud, "Tiada penglihatan mata yang mampu melihat Allah SWT, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui setiap mata yang melihat, kerana Allah SWT itu adalah Maha Halus dan Maha Mengetahui."Seperkara lagi, ayat2 Allah yang menjadi bukti2 dan tanda2 kewujudan, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT itu bukan sekadar dalam Al-Quran sahaja, kerana ia termasuk kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, bulan, bintang dan matahari, kepelbagaian makhluk, perbezaan bangsa dan sifat manusia dsb.Sekiranya kita ikhlas mengenali Allah SWT, kita sentiasa sedar dan merasai kewujudan Allah SWT melalui2 ayat2nya yang begitu banyak dan meluas. Ini termasuklah qadak dan qadar yang telah ditetapkan dan dilaksanakanNya buat kita dan sekelian alam.Beberapa para Nabi ASWS juga begitu diberi hidayah oleh Allah SWT melalui jalan hidayah "ayat2"Nya yang meluas dan pelbagai sehingga mereka beriman kepada Allah SWT dan diangkat menjadi Nabi.Penyaksian awal memang biasanya agak lemah terutama apabila kita mewarisi Islam dan bukan memeluknya dengan ilmu. Sebaliknya, dengan adanya ilmu, penyaksian kita menjadi lebih baik dan sempurna apabila kita menjadi lebih baik dan konsisten dalam beramal ibadah dan beramal soleh.Beramal kerana kita sedar kita ini hanyalah sekadar seorang yang faqir, tercela lagi serendah2 hamba kepada Allah SWT. Inilah kesedaran kita yang perlu sentiasa ada dalam jiwa supaya hidup kita menjadi ibadah yang lebih bermakna.Barangkali yang lebih arif dengan Allah lebih mengetahui cara dan kaedah terbaik menjawab soalan pelik begitu. Pun begitu, alhamdulillah, saya bersyukur masih lagi dihidupkan dalam keadaan beriman kepada Allah SWT.Semoga Allah menambahkan lagi ilmu dan kefahaman kita semua sehingga kita mampu menjadi bertambah kuat dan istiqomah dalam beramal ibadah mendekatkan diri kepadaNya yang Maha Esa.Allahumma yassir, wa la tu'assir, wa tammim bilkhair. Amin.Allahu a'lam.Nota: Maaf kerana saya suka menulis panjang. Semoga ada menfaatnya.